8 MAC: Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata kerajaan menerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyemak kadar rebat dan tarif elektrik setiap enam bulan sekali.
Shamsul Anuar berkata kerajaan akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk rungutan dan beban kewangan dihadapi rakyat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kadar rebat dan tarif baru elektrik yang akan dikenakan kepada pengguna di negara ini, pada masa depan.
Sebelum ini, Shamsul Anuar berkata kerajaan meminta TNB mengekalkan tarif elektrik bagi tahun 2021 dan memberikanan rebat dua sen kepada semua 7 juta pengguna domestik dan industri di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Berikutan itu, takrif elektrik bagi tahun 2021 dikekalkan pada kadar 39.45 sen setiap kWj dan rebat dua sen bagi setiap kWj berkenaan memberi manfaat kepada 7 juta pemilik akaun TNB termasuk pengguna domestik dan industri di Semenanjung Malaysia bagi tempoh satu Januari sehingga 30 Jun 2021.
“Untuk rebat dan tarif akan datang kita akan kaji selepas 6 bulan, itu peraturan yang sedia ada yang kita amalkan sejak dahulu, sejak 2014 kalau tak silap, semakan terakhir kita umum pada Disember tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat laman media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di PWTC di Kuala Lumpur hari ini.
Pada Disember lalu media melaporkan TNB akan mengekalkan tarif elektrik bagi tahun 2021 serta pemberian rebat sebanyak dua sen kepada semua pengguna.
Shamsul Anuar dipetik sebagai berkata, takrif elektrik bagi tahun 2021 dikekalkan pada kadar 39.45 sen setiap kWj dan rebat dua sen bagi setiap kWj kepada semua pemilik akaun TNB bagi tempoh satu Januari sehingga 30 Jun 2021.
“Rebat yang pertama kali dinikmati sejak Julai 2018 kini akan dinikmati oleh semua pengguna elektrik TNB tidak kira domestik dan bukan domestik.
“Langkah ini diambil berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh regulatori TNB kedua dibawah mekanisma rangka kerja IBR hingga 30 Disember 2021,” katanya.