28 MAC: Semua pemimpin dan ahli UMNO diminta berhenti daripada melabelkan antara satu sama lain bagi mengukuhkan perpanduan dan kesatuan dalam parti.
Ahli Majlis Kerja Tinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pemimpin dan ahli UMNO perlu menghentikan segera tindakan menggelarkan individu dalam parti dengan pelbagai label termasuk kluster mahkamah atau kluster menteri.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Lenggong itu menegaskan yang ada cumalah pemimpin dan ahli UMNO yang sentiasa setia dengan perjuang parti iaitu demi agama Islam, bangsa Melayu dan kepentingan Bumiputera serta kaum lain.
“Sebab itulah saya minta semua ahli dan pemimpin UMNO supaya menghentikan memberikan gelaran dan melabelkan orang lain dengan label tertentu yang boleh melemahkan perpaduan dan kesatuan dalam parti.
“”Kita mahu ke hadapan dan menunjukkan bahawa kita sentiasa berjuang demi kepentingan rakyat. Justeru, kita perlulah menamatkan cakap-cakap yang boleh merosakkan parti. Rakyat sedang melihat UMNO dan mahu parti ini kembali bangkit memerintah negara ini, pada masa depan,” ketika ditemui pemberita selepas melawat laman media sempena Perhimpunan Agung UMNO di PWTC hari ini.
Terdahulu, Shamsul Anuar menegaskan bahawa beliau sedia meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, jika UMNO membuat keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), dalam masa terdekat.
Sebagai Shamsul Anuar berkata beliau akan terus setia dan patuh dengan apa sahaja keputusan dibuat oleh parti termasuk meletak jawatan sebagai menteri dalam kabinet kerajaan PN.
“Sebagai pemimpin saya akan terus taat setia dan patuh dengan keputusan UMNO selagi parti meletakkan kepentingan rakyat, bangsa Melayu dan Islam di hadapan.
“Secara peribadi sudah tentu saya akan akur dengan keputusan UMNO jika parti membuat keputusan kerana sebagai pemimpin kita tidak boleh meletakkan kepentingan diri di depan berbanding kepentingan umum. Ini penting bagi kita menunjukkan kepada ahli UMNO dan rakyat bahawa UMNO adalah sebuah parti berpegang kepada prinsip, agenda dan ideologi parti.
“Jadi apa juga keputusan dibuat oleh parti sebagai pemimpin kita kena akur. Bagaimanapun, ketika ini parti belum membuat sebarang keputusan muktamad dan perbahasan usul masih lagi berlangsung sekarang.
“Bagaimanapun, sebagai pemimpin saya ulangi sekali lagi bahawa kami akan akur dengan segala keputusan akan dibuat hari ini. Itu wajid sebagai seorang pemimpin yang tidak meletakkan kepentingan diri di hadapan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI