29 MAC: UMNO tidak meletakkan ‘dateline’ atau tempoh akhir kepada PAS untuk membuat keputusan sama ada akan terus bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) atau ‘bercerai’ dan meneruskan pakatan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata PAS tidaklah memberikan reaksi yang negatif lebih-lebih lagi apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa hubungan dengan MN perlu diperkukuhkan.
Bagaimanapun, Ahmad yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata beliau yakin PAS akan terus menjadi jambatan bagi menyambung semula hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada masa depan.
“Saya kira Pas mungkin ingin terus jadi jambatan kepada hubungan, bagaimanapun kita telah nyatakan bahawa hubungan dengan Bersatu sudah dinoktahkan.
“Jika Pas ingin menjadi jambatan kelihatan ia tidak akan berlaku dan apa yang lebih penting hubungan UMNO dan PAS dipersetujui oleh semua jurucakap setakat ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat laman media di Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.
Ahmad berkata, PAS perlu sedar akan gabungannya bersama UMNO lebih awal berbanding PN yang ditubuh bersama Bersatu.
“Hubungan dengan UMNO lebih awal dan pada ketika itu Bersatu berada dalam Pakatan Harapan (PH) bersama DAP dan PKR.
“Oleh itu jika berlaku tiga penjuru, adalah penting pimpinan negeri dan kawasan itu sentiasa rapat dengan pimpinan PAS dan mudah-mudahan pimpinan PAS sentiasa bersama kita,” katanya.