29 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini menyeru semua rakyat berganding bahu untuk menunaikan tanggungjawab melindungi diri dan masyarakat menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Baginda bertitah, usaha menangani COVID-19, wajar digalas menerusi kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan dan rakyat serta semangat setiakawan erat daripada seluruh masyarakat.
“Beta menaruh sepenuh keyakinan, berbekalkan ikhtiar dan usaha kita semua menerusi PICK dan Program Pemerkasaan Komuniti akan membolehkan kita bangkit semula, bersama seiring dan sehaluan membina masa hadapan lebih gemilang buat negara dicintai ini.
“Marilah kita bersama-sama meneruskan agenda memerangi COVID-19 dan menunaikan kewajipan untuk melindungi negara tanah tumpahnya darah kita,” titah baginda pada pelancaran Program Pemerkasaan Komuniti secara langsung di RTM, hari ini.
Titahnya, ketika Malaysia mula dilanda gelombang pertama COVID-19 pada awal tahun lepas, negara berjaya melandaikan lekuk peningkatan kes harian hasil usaha gigih pelbagai pihak dan kerjasama erat seluruh rakyat.
Namun, titahnya, pada tahun ini negara dikejutkan dengan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 yang membawa cabaran getir kepada petugas barisan hadapan dan fasiliti kesihatan negara, seterusnya mengubah falsafah kehidupan rakyat.
Justeru, Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda menyambut baik usaha kerajaan dalam merangka Program Pemerkasaan Komuniti yang menyaksikan pembabitan seluruh lapisan masyarakat dan pemimpin komuniti dalam mengurangkan serta mencegah jangkitan pandemik berkenaan.
“Di samping itu, inisiatif dikenali Agen Basmi COVID-19 atau ‘ABC-19’ bakal menyaksikan penglibatan pelbagai entiti untuk bergabung tenaga bagi memperkasakan komuniti,” titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kesyukuran di atas usaha gigih kerajaan membawa vaksin yang berupaya melindungi rakyat daripada jangkitan COVID-19.