29 MAC: Jumlah individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, menunjukkan penurunan ketara, iaitu hanya 44 orang, berbanding 107 orang, kelmarin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata semua individu itu dikompaun.
“Daripada 44 kesalahan ini, tiada penjarakan fizikal mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 39, manakala gagal menyediakan peralatan merekod diri dan pelanggan, tiga kesalahan.
“Rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta tidak memakai pelitup muka pula, masing-masing menunjukkan satu kesalahan direkodkan.
Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI), selain merampas sebuah kenderaan darat dan sebuah bot serta kapal menerusi Op Benteng, semalam.
Katanya, dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 98 bot dan kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN