29 MAC: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menetapkan tarikh akhir pendaftaran vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, berkata ketika ini pihaknya sedang membincangkan kesesuaian melaksanakan penetapan berkenaan seperti dicadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelumnya.
“Cadangan itu sedang dipertimbangkan dan sekiranya didapati boleh memberi kesan positif kepada jumlah pendaftaran, kita akan mengumumkannya kelak,” katanya pada sidang media Perkembangan PICK, hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, kerajaan sedang menimbangkan penetapan tarikh akhir pendaftaran mendapatkan vaksin COVID-19 untuk mencapai sasaran 80 peratus daripada 32 juta populasi di negara ini menerima suntikan terbabit.
Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, cadangan Perdana Menteri itu, bertujuan mempercepatkan proses pendaftaran dan meningkatkan kebolehan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) membuat unjuran dan perancangan program imunisasi.
Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya sudah menambah hampir 150,000 petugas barisan hadapan sebagai penerima dos vaksin bagi Fasa 1 PICK.
Pertambahan dilakukan pada 10 Mac lalu itu, katanya, menjadikan jumlah petugas barisan hadapan yang didaftarkan untuk menerima vaksin terbabit adalah seramai 647,398 petugas.
“Diharap kita akan dapat berikan suntikan dos vaksin pertama kepada jumlah tambahan itu dalam masa dua minggu akan datang,” katanya.