29 MAC: Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, mendedahkan tindakan pihak tertentu menganjurkan majlis perkahwinan tanpa memohon permit daripada polis antara punca peningkatan semula kes Covid-19 di Kelantan.
Dr Izani berkata, kebanyakan mereka yang mengadakan majlis perkahwinan itu tidak mematuhi SOP, termasuk tetamu yang menghadiri majlis itu.
“Kecuaian dan kelalaian pihak berkenaan menyebabkan kes Covid-19 di Kelantan meningkat, termasuk peningkatan kluster. Peningkatan kes ini berlaku beberapa hari selepas kes di negeri ini menurun.
“Mungkin rakyat mengambil kesempatan penurunan kes sebelum ini dengan bersikap sambil lewa dalam pematuhan SOP,” katanya selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kelantan, Abdullah Muhammad Piah.
Mengulas lanjur, Dr Izani berkata, terdapat juga kes Covid-19 di sekolah berpunca daripada guru yang dijangkiti selepas menghadiri kenduri kahwin dan seterusnya guru terbabit menjangkiti orang lain pula.
Sementara itu, Abdullah berkata, polis meningkatkan penguatkuasaan dengan membuat pemantauan di semua majlis perkahwinan dan mengenakan kompaun antara RM1,500 hingga RM10,000 kepada mereka yang gagal memohon permit dan mematuhi SOP.
“Banyak kenduri diadakan tanpa permit dan mulai hari ini, polis akan memperketatkan SOP di negeri ini dengan membuat pemantauan di semua majlis perkahwinan, sama ada penganjur memohon permit atau sebaliknya.” katanya.