29 MAC: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengadakan pertemuan mengejut dengan tujuh Menteri Kabinet dari UMNO berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), semalam, yang memutuskan untuk menarik sokongan secara ‘en block’ kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bila-bila masa.
Menurut sumber, pertemuan hampir sejam itu hanya membabitkan tujuh Menteri dari UMNO dan tidak melibatkan Timbalan Menteri.
Antara Menteri Kabinet yang dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra bagi mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden UMNO); Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (Ahli Parlimen Ketereh) dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba juga kelihatan turut hadir dalam pertemuan itu.
“Saya difahamkan pertemuan berlangsung lebih sejam mulai jam 5.30 petang hingga 6.45 petang itu diadakan secara mengejut bagi membincangkan keputusan UMNO untuk menarik diri daripada kerajaan PN dan kerjasama dengan Bersatu.
“Namun saya tidak boleh menjejaskan butiran terperinci mengenainya kerana tiada dalam pertemuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Sementara itu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Aziz mengesahkan bahawa Annuar menghadiri pertemuan mengejut berkenaan namun kurang jelas mengenai butirannya.
“Saya difahamkan Tan Sri Annuar Musa menghadiri mesyuarat berkenaan berikutan keputusan UMNO semalam namun sehingga kini beliau belum memaklum butiran terperinci mengenainya,” katanya.