29 MAC: Sebuah pusat pendidikan yang terletak di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, menjadi pencetus salah satu daripada tiga kluster baharu COVID-19 dikesan di Selangor dan Sarawak seperti dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Seksyen 16 berkenaan adalah kluster tempat kerja melibatkan daerah Hulu Langat dan Sepang di Selangor.
Beliau berkata kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-327393) dilaporkan positif COVID-19 pada 18 Mac 2021 hasil saringan kontak rapat.
“Kluster ini melibatkan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi. Sehingga 29 Mac 2021, sejumlah 322 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kluster Jalan Azlan pula adalah kluster tempat kerja melibatkan daerah Kepong dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Kuala Langat di Selangor.
Beliau berkata kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-338600) dilaporkan positif COVID-19 pada 26 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.
“Kluster ini melibatkan sebuah pusat pentadbiran awam yang terletak di Jalan Sultan Azlan Shah, Sentul, Kepong. Sehingga 29 Mac 2021, sejumlah 70 individu telah disaring, di mana sembilan (9) kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.
Beliau berkata Kluster Taman Vistagro pula adalan kluster komuniti melibatkan daerah Sri Aman di Sarawak dengan kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-337909) dilaporkan positif COVID-19 pada 25 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.
“Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan berlaku iaitu di Taman Vistagro, Sri Aman. Sehingga 29 Mac 2021, sejumlah 179 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan tiga kluster baharu berkenaan jumlah keseluruhan kluster COVID-19 di Malaysia kini menjadi
1,350 kluster termasuk 977 sudah tamat dan 373 masih aktif.
“Ini termasuklah 11 kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Desa Empat, Kluster Genting Terang, Kluster Jalan Tebrau Pandan, Kluster Jalan Telok Ira, Kluster Jalan Tebrau Khas, Kluster Jalan Istimewa Cemerlang, Kluster Lebuh Keluli, Kluster Jalan Istimewa Tujuh, Kluster Jalan City, Kluster Patikang Ulu, dan Kluster Taman Industri.
“Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini 43 kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Pagar Bukit Chagar (60 kes), Kluster Teknologi Bukit Minyak (58 kes), dan Kluster Batu 22 (46 kes),” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI