29 MAC: Siasatan awal berhubung insiden helikopter terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang (LTSAAS) pada 24 Mac lalu, mendapati lesen juruterbang dan rekod penyelenggaraan pesawat itu masih sah serta mengikut piawaian ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan (CAAM), Kapten Chester Voo, berkata ketika ini Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan giat menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kemalangan itu.
Beliau berkata, laporan awal kemalangan akan dikeluarkan selepas 30 hari kejadian.
“Siasatan awal terhadap insiden helikopter terhempas di LTSAAS pada 24 Mac lalu, mendapati lesen juruterbang dan rekod penyelenggaraan helikopter itu masih sah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Taklimat Keselamatan Bersama Syarikat Pengendali Helikopter, di Putrajaya, hari ini.
Chester memaklumkan, ketika ini juruterbang dan individu terbabit dalam kemalangan itu masih menjalani rawatan di hospital, justeru siasatan akan dijalankan selepas mereka dibenarkan keluar.
Katanya, laporan penuh kemalangan itu akan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan CAAM untuk tindakan, susulan, termasuk penambahbaikan operasi penerbangan.
Pada 24 Mac lalu, dua orang cedera selepas helikopter jenis Airbus AS350 B3 dinaiki lima individu terhempas di LTSAAS
Dalam kejadian itu, tiga individu yang berada dalam pesawat terbabit tidak mengalami kecederaan.