27 MAC: Jumlah kes baharu COVID-19 di seluruh negara hari ini kembali mencatatkan empat angka, iaitu sebanyak 1,133 kes telah dilaporkan.
Pertambahan itu berlaku selepas negara merekodkan 941 kes, semalam, iaitu di bawah paras 1,000 buat pertama kali sejak Januari lalu.
Angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik terbabit di Malaysia adalah sebanyak 344,018 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini, Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi dengan 401 kes baharu.
Beliau memaklumkan, negeri lain yang mencatatkan pertambahan kes tiga angka, adalah Pulau Pinang, iaitu 194 kes dan Sarawak (153).
“Johor pula mencatatkan 96 kes baharu, Kuala Lumpur (53) dan masing-masing 44 kes di Perak dan Kelantan.
“Turut mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini adalah Kedah dan Sabah yang masing-masing melaporkan 41 kes, Negeri Sembilan (39) dan Pahang (16).
Dr Noor Hisham berkata, hanya lima negeri mencatatkan pertambahan kes baharu satu angka hari ini.
“Negeri ini adalah Melaka dengan enam kes, Terengganu (dua) dan masing-masing satu di Putrajaya, Perlis serta Labuan,” katanya.
Sementara itu, katanya, lima kes kematian direkodkan, memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 161 kes serta kes memerlukan bantuan pernafasan (76 kes). Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN