30 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster berisiko tinggi di Kota Tinggi, Johor hari ini yang terdiri daripada kakitangan dan pesakit sebuah pusat hemodialisis.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster dikesan di Kota Kemajuan itu membabitkan kes indeks ke 339,859 yang dilaporkan positif pada Ahad lalu hasil saringan individu bergejala.
“Kluster ini membabitkan kakitangan dan pesakit-pesakit sebuah pusat hemodialisis yang terletak di Jalan Kemajuan, Kota Tinggi serta merangkumi daerah Johor Bahru dan Kota Tinggi di Johor.
“Sehingga hari ini, sejumlah 59 individu sudah disaring dengan lima kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, selain kluster itu, lapan kluster baharu turut dilaporkan.
Kluster itu, katanya, membabitkan lima kluster tempat kerja, iaitu tiga di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan.
Beliau berkata, tiga kluster pula adalah membabitkan komuniti, iaitu dua di Sabah dan satu di Johor.
“Di Selangor, kluster ini adalah di Jalan Pinang Raja, Jalan SC Satu dan Jalan Western.
“Manakala di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, kluster dilaporkan masing-masing di Jalan Sulaiman serta Batu Enam Setengah, selain di Sabah, kluster itu adalah Fasa Dua Semarak dan Ranggu,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, bagi kumulatif kluster aktif, sebanyak 369 kluster direkodkan dan kumulatif kluster ditamatkan pula adalah 990 kluster, menjadikan jumlah kluster keseluruhan di negara ini adalah 1,359 kluster.- Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN