30 MAC: Negeri Pahang kekal dengan fatwa bahawa penggunaan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh bukan Islam seperti yang diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang pada pada 11 Jun 2008.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata keputusan penggunaan, kenyataan, penyebaran, percakapan atau ada apa-apa bentuk penerbitan atau media elektronik atau media cetak oleh orang bukan Islam yang boleh mengeliru dan memesongkan akidah orang Islam telah pun termaktub di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam No 5 tahun 1985.
“Contoh Lagu Negeri Pahang ada menyebutkan ‘Ya ALLAH selamatkan raja kami’, tak pernah dilarang untuk menggunakannya.
“Yang kita larang apabila mereka menggunakan perkataan itu untuk memesong dan mengelirukan akidah umat Islam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama itu untuk pendidikan dalam komuniti mereka.
Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.
Namun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac lepas.
Notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengesahkan rayuan tersebut.
Dalam pada itu, Abdul Rahman melahirkan kebimbangan terhadap tipisnya iman golonga muda yang tidak dapat merasakan perbezaan agama, sedangkan Islam adalah agama yang diterima ALLAH.
“Kalaulah perkataan kalimah ALLAH ini digunakan sewenang-wenangnya, boleh tanpa had lagi membahayakan. Bila mereka mendapat menggunakan perkataan tu tidak menjadi kesalahan bagi mereka, mungkin mereka letak tatoo di badan mereka.
“Di Indonesia, di gereja ada salib dan perkataan ALLAH, ini mengelirukan. Justeru, saya berharap agar keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi tempoh hari disemak semula, “katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman turut mengesahkan pihaknya menerima memorandum oleh Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam Pahang (Pembela Pahang) yang membantah penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam.
Tambah beliau, memorandum tersebut akan diserahkan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).