30 MAC: Pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ditangguhkan sehingga menerima laporan audit keselamatan daripada juruaudit bebas yang dilantik.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerja pembinaan hanya akan dimulakan semula sekiranya pihak berwajib berpuas hati dengan hasil laporan juruaudit bebas berkaitan aspek keselamatan di tapak projek lebuh raya itu.
“Kerja hanya boleh dimulakan bila kita sudah berpuas hati bahawa segala proses dari sudut keselamatan untuk pekerja, orang awam dan segala aspek berkaitan dipenuhi di tapak berkenaan.
“Setakat ini, kita belum menerima laporan penuh daripada juruaudit bebas yang dilantik,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Pembangunan Kontraktor Penyenggaraan (PPKP) 2021 di Kuala Lumpur, hari ini.
Selain SUKE, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Projek Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) juga akan diaudit oleh juruaudit bebas yang telah dilantik.
Mengenai punca sebenar kejadian, Fadillah berkata siasatan masih dilakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kerana ia berkaitan dengan peralatan di tapak pembinaan terbabit.
Terdahulu , tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu cedera parah susulan insiden satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras pada 22 Mac lalu.