30 MAC: Sebuah pusat urut lelaki yang disyaki menawarkan khidmat seks sejenis atau gay di Cheras, diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan serbuan itu hasil maklumat risikan dan siasatan yang dijalankan selepas mendapati berlakunya aktiviti tidak bermoral (urutan GAY) di tingkat dua premis tersebut.
Siasatan mendapati, lapan buah bilik dijadikan tempat urut dan aktiviti seks sejenis.
“Semakan juga mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen yang sah sebagai pusat urut daripada DBKL,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi DBKL, hari ini.
Seramai lima lelaki warga Vietnam, Syria dan Indonesia bertindak sebagai tukang urut manakala dua lagi lelaki warga Myanmar pula sebagai pelanggan ditahan.
DBKL berkata, seorang lagi warga Indonesia sebagai penjaga premis turut ditahan dan diambil keterangan bagi proses dokumentasi daripada pihaknya.
“DBKL mengeluarkan satu notis kompaun di bawah UUK 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian ( WPKL ) 2016.
“DBKL juga turut mengambil tindakan menyita 25 pelbagai peralatan premis turut dilakukan seperti kondom, minyak pelincir dan lain-lain peralatan,” katanya.
Sementara itu, DBKL turut memaklumkan pihaknya mengambil tindakan menutup premis tersebut serta merta menerusi Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH