30 MAC: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan bahawa beliau akan kekal menjadi Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad sehingga Parlimen dibubarkan.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, beliau akan berada dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan sebab ia pendirian parti.
“Jadi, seberapa lama saya akan jadi dalam kerajaan, sokong kerajaan, ia bergantung berapa lama masa diambil untuk Parlimen dibubarkan. Kalau esok saya terkeluarlah daripada kerajaan.
“…kalau sampai bulan Ogos, sampai bulan itulah. Kalau tahun depan, sampai tahun depanlah,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke ke Kilang Pengacuan U-through Girder di Saujana Putra, semalam.
Sehingga tempoh itu katanya, beliau akan berusaha membantu pihak pengurusan Prasarana untuk menjadi penyedia perkhidmatan pengangkutan yang terbaik dalam negara.
Kelmarin, Tajuddin berkata beliau bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Prasarana sekiranya parti itu secara rasmi meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).