30 MAC: Tan Sri Muhyiddin Yassin, menasihatkan Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya kekal memegang jawatan masing-masing sehingga Parlimen dibubarkan.
Menurut sumber Putrajaya, beberapa Menteri UMNO diketuai Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, bertemu dengan Muhyiddin di Pejabat Perdana Menteri, semalam bagi menyatakan hasrat meletak jawatan secara enbloc.
Bagaimanapun, Perdana Menteri meminta mereka mempertimbangkan semula hasrat itu bagi menjaga kebajikan rakyat dalam situasi memerangi COVID-19.
Pertemuan itu turut dilaporkan dihadiri Ketua Wanita UMNO yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad.
Ismail Sabri turut dikatakan mengadakan perjumpaan tertutup dengan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO selepas pertemuan itu, semalam bagi membincangkan semula pandangan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi berhubung perjumpaan tersebut yang dibuat susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO supaya pemimpin parti yang berada dalam kerajaan melepaskan jawatan selewat-lewatnya Ogos depan.