31 MAC: Cadangan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menggesa supaya pemilihan parti UMNO diadakan segera disifatkan resolusi terbaik bagi merungkai kemelut kepimpinan parti itu ketika ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit, Khairul Shahril Mohamed, berkata gesaan Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ itu perlu dipertimbangkan secara serius.
Katanya, kepimpinan parti juga perlu bersikap berlapang dada menerima setiap cadangan daripada semua pihak demi kebaikan UMNO.
“Mungkin pandangan ini tidak seronok dan pahit diterima, tetapi haruslah diperhalusi sebaiknya.
“Pada saya cadangan YB Khairy itu satu kenyataan yang amat sesuai untuk polemik politik negara sekarang, terutama berkaitan urusan politik UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairul Shahril berkata, ketika ini adalah masa tepat untuk UMNO memperlihatkan kepimpinan mereka menerusi sistem demokrasi.
“Diharap kepimpinan dapat buat keputusan terbaik bukan untuk kepentingan diri, tetapi organisasi parti,” katanya.