31 MAC: Sebanyak 600,000 dos vaksin COVID-19, AstraZeneca dijangka diterima Malaysia dari kilang pembuatannya di Thailand, Jun depan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya sudah menerima jadual penghantaran vaksin itu daripada AstraZeneca Malaysia, hari ini.
“Saya baru sahaja menerima jadual penghantaran vaksin AstraZeneca, tetapi ini bukan dari fasiliti COVAX, tetapi terus dari AstraZeneca Malaysia, iaitu menerusi kontrak pembuatan vaksin AstraZeneca di Thailand.
“Saya nak mengesahkan penghantaran vaksin AstraZeneca ini bermula Jun depan dan kita akan menerima 600,000 dos tersebut yang akan dihantar secara berkala setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Kolaborasi Korporat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Putrajaya, hari ini.
Namun, katanya, kerajaan masih menunggu jadual penghantaran mengenai pembelian vaksin AstraZeneca menerusi fasiliti COVAX.
Berhubung tindakan kerajaan India menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca daripada Serum Institute of India (SII), baru-baru ini, Khairy berkata, tindakan itu tidak menjejaskan penghantaran vaksin AstraZeneca ke Malaysia.
Katanya, itu kerana vaksin AstraZeneca dibeli Malaysia dibuat syarikat pengeluarnya dari Korea, SK Bioscience.
“Saya percaya tindakan kerajaan India menggantung vaksin itu tiada kaitan dengan vaksin akan kita terima kerana AstraZeneca dibuat syarikat Korea, SK Bioscience,” katanya.