31 MAC: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan hospital swasta di negara ini membeli terus vaksin COVID-19 daripada pembekal dan berharap kelulusan vaksin baharu dipercepat.
Presidennya Datuk Dr Kuljit Singh berkata APHM juga bersedia membantu kerajaan mendapatkan vaksin daripada pembekal selain daripada pembekal semasa.
Beliau berkata apa yang penting bekalan vaksin tambahan perlu tiba di Malaysia menjelang pertengahan tahun, bukan menjelang suku ketiga atau keempat.
“Sebarang kelewatan akan memberi kesan kepada pemulihan ekonomi negara.
“Oleh itu kerajaan perlu mempercepatkan proses kelulusan vaksin baharu supaya pengeluar boleh mengemukakan permohonan kepada agensi kawal selia farmaseutikal bagi pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Kuljit berkata beliau percaya banyak vaksin baharu akan tersedia dan diluluskan untuk penggunaan menjelang pertengahan tahun ini.
Malah, Dr Kuljit memberi jaminan bahawa perolehan vaksin oleh sektor swasta tidak akan mengurangkan ketersediaan mereka bagi program imunisasi kebangsaan kerajaan.
Beliau berkata, persatuan itu ingin membantu ‘barisan hadapan ekonomi’ daripada syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat swasta dengan tenaga kerja yang besar, warga asing dan individu mendapat vaksin lebih awal daripada yang dirancang kerajaan.
Sementara itu Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Dr Steven Chow berkata, proses vaksinasi tidak berjalan cukup pantas.
“Pengamal (perubatan) am yang berada di barisan hadapan sejak awal wabak ini mengadu mereka masih belum menerima dos pertama,” kata beliau.
Chow berkata, sektor swasta harus ‘banyak terlibat’ dalam pengimportan dan pengedaran vaksin, terutamanya kepada klinik swasta.
Beliau juga berkata, mereka yang inginkan vaksin dan bersedia membayar kosnya harus diberi peluang mendapatkannya.
“Ini bukan soal kesetaraan (hak) kerana ia melibatkan kesihatan awam dan ekonomi,” katanya.