31 MAC: Pentadbiran Kerajaan Persekutuan boleh tumbang dan menjadikan negara berada dalam keadaan getir serta tidak stabil sekiranya menteri dan timbalan menteri dariapda UMNO meletakkan jawatan susulan keputusan parti itu ingin menarik diri dari gabungan Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff bwrkata, UMNO perlu membuat pendirian yang jelas jika benar-benar mahukan menteri dan timbalan menteri UMNO meletakkan jawatan daripada Kabinet PN.
“UMNO perlu buat keputusan yang jelas kerana arahan yang dikeluarkan itu tidak berapa jelas. Ini satu keputusan yang tidak betul. Kena adil kepada kerajaan.
“Sebagai contoh… okey kita tak mahu berada dalam kerajaan PN, semua menteri UMNO perlu letak jawatan. Itukan lebih jelas dan tidak tergantung pendiriannya.
“Namun, jika keputusan ini diambil, apakah sebabnya UMNO berbuat demikian kerana apabila mereka meletak jawatan, jatuhlah kerajaan kerana tidak cukup majoriti,” katanya ketika dihubungi wartawan PN BBC Portal, hari ini.
Terdahulu, Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) bersetuju untuk menyerahkan mandat kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menentap tarikh bersesuaian bagi menarik sokongan secara ‘en bloc’ diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perwakilan juga bersetuju bahawa Presiden dan MKT boleh membuat keputusan berkenaan pada bila-bila masa dari sekarang jika kerajaan PN tiada indikasi untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Mohammad Agus yang juga Pensyarah Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu jika keputusan itu telah dibuat, barulah rakyat dan negara akan dapat melihat perubahan dan kemunculan suasana politik yang baharu.
“Bagi arahan yang jelas supaya kita boleh tengok siapa yang mahu meletakkan jawatan. Keputusan sekarang ni tak boleh flip flop kerana menyebabkan ketidakstabilan pelbagai faktor kepada negara kita.
“Apabila keputusan dah dibuat, barulah kita dapat tengok senario politik baharu itu bagaimana kerana belum tentu arahan contoh semua menteri UMNO perlu letak jawatan…kesemua mereka akan meletakkan jawatan di dalam barisan kabinet Jemaah Menteri. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH