31 MAC: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan terus memberi sokongan padu kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, sekali gus mengekalkan status quo kerajaan negeri dipimpin oleh UMNO.
Ketua BERSATU Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Badan Perhubungan BERSATU Johor yang dipengerusikannya di sebuah hotel di Putrajaya di sini, sebentar tadi.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor menjelaskan tindakan BERSATU terus kekal menyokong Hasni kerana memikirkan soal kebajikan rakyat Johor dan kesan buruk kepada negara.
“Setakat hari ini kita tidak buat sebarang keputusan tarik sokongan kepada kerajaan UMNO Johor.
“Apa yang penting BERSATU memikirkan soal kebajikan rakyat dan negara. Jadi saya tidak akan timbulkan masalah dan pergolakan yang akan membawa kesan buruk kepada negeri dan negara.
“Sebab itulah di peringkat Nasional saya putus Menteri dan Timbalan dari parti UMNO terus kekal bersama kerajaan PN.
“Untuk Johor kita akan terus kekal sokongan kepada kerajaan negeri dipimpin oleh UMNO,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini Hasni memberi bayangan bahawa UMNO Johor tidak akan meneruskan kerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 nanti berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Ahad lalu.
Berikutan itu, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri meletakkan harapan tinggi bahawa semua pihak turut berlaku adil kepada BERSATU.
“Harapan kita berlaku adillah kepada Bersatu kerana ada rungutan mengenai pembahagian jawatan ketua kampung yang tidak dirundingan secara adil.
“Bagaimanapun untuk menjaga kemaslahatan masyarakat di Johor maka kita akan terus kekal bersama sehingga PRU-15. Itulah janji kita dari BERSATU bukan untuk UMNO,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin berkata Mesyuarat BERSATU Johor menyuarakan rasa kesal dengan apa berlaku dalam PAU pada Ahad lalu.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.