31 MAC: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden sedang mempertimbangkan untuk melantik seorang lelaki berketurunan Asia-Amerika beragama Islam untuk memegang jawatan sebagai Hakim Persekutuan Mahkamah Daerah AS, sekali gus mencipta sejarah baharu di negara itu.
Portal tempatan AA, melaporkan jika pertimbangan itu dipersetujui Senat, difahamkan Zahid Quraishi bakal mengisi jawatan itu di New Jersey, AS.
Biden dalam pemilihan pelantikan calon hakim persekutuan untuk negara itu, mengemukakan 11 individu, terdiri daripada individu kulit hitam, berdarah Asia dan beragama Islam, bertujuan mewujudkan kepelbagaian dalam sistem kehakiman AS.
Individu dipilih itu, termasuk tiga wanita kulit hitam dan wanita Asian-Amerika yang akan berkhidmat di Columbia serta Maryland.
Dalam satu kenyataannya, Biden menjelaskan, pencalonan dan pemilihan itu adalah dalam kalangan mereka yang terbaik daripada aspek profesional undang-undang.
“Setiap daripada mereka mempunyai kelayakan dan bersedia menegakkan Perlembagaan serta bersifat adil,” katanya.
Sementara itu, Quraishi yang berketurunan Pakistan dicalonkan sebagai Hakim Persekutuan Mahkamah Daerah, AS juga adalah muslim pertama Amerika dilantik memegang jawatan hakim Mahkamah Majistret New Jersey pada Jun 2019.
Dilahirkan di New York dan dibesarkan di New Jersey, Quraishi mendapat pendidikan dari Sekolah Undang-Undang, John Jay College of Criminal Justice pada 1997 dan melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di Rutgers Law School pada tahun 2000.
Beliau pernah berkhidmat sebagai penolong pendakwa raya AS di daerah New Jersey, selain memiliki pengalaman bertugas sebagai penolong ketua penasihat di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di negara itu.