Nur Sajat dipercayai berada di luar negara
31 MAC: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, dipercayai kini berada di luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata maklumat itu diperoleh hasil siasatan polis Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang tidak pernah berhenti mengesan lokasi sebenarnya.
“Jika tidak silap saya, dinyatakan yang dia berada di luar negara, ada berita nyatakan dia ada di luar negara.
“Tapi, kita masih lagi memantau,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai (IPD) di Nilai, hari ini.
Mengulas persoalan media berhubung kenyataan Nur Sajat bahawa polis tidak mencarinya kerana mempunyai urusan lebih penting, Huzir enggan mengulas lanjut, namun menegaskan kes itu dalam tindakan polis.
Baru-baru ini, Nur Sajat menerusi rakaman ‘live’ di Instagram miliknya menafikan bersembunyi daripada JAIS dan pihak berkuasa.
“Masa bila kita nak jadi pelarian, buat apa nak jadi pelarian, masa bila saya menyorok dan saya bukan menyorok tetapi hanya mendiamkan diri daripada media sosial Instagram.
“Pihak polis tidak mencari saya kerana mereka mempunyai urusan yang lebih penting berbanding saya,” katanya.
Nur Sajat menjadi buruan selepas dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir sebutan kes perbicaraannya di mahkamah, bulan lalu.