31 MAC: Perbendaharaan, Ketua Menteri atau Menteri Besar dibenar menggunakan Kumpulan Wang Disatukan (KWD) tanpa melalui legislatif sepanjang penguatkuasaan darurat selepas ordinan berhubung perkara itu diwartakan hari ini.
Ordinan dinamakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan 2021) itu menggariskan dua seksyen baharu, iaitu Seksyen 10A dan 10B.
Ordinan itu, yang boleh dilihat di laman web pejabat peguam negara, menyatakan bahawa apa-apa perbelanjaan atau pengeluaran daripada KWD boleh dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan atau Menteri Besar atau Ketua Menteri.
Dengan ordinan itu, Perbendaharaan Malaysia, Menteri Besar atau Ketua Menteri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan dana kumpulan wang terbabit tanpa perlu melalui proses legislatif.
Ini sekali gus bermakna usaha menangani pandemik COVID-19 dapat dilakukan dengan lebih cepat dan berkesan.
Ketika ini, Parlimen dan semua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung sejak 11 Januari lalu menerusi proklamasi darurat.
Sepanjang tempoh itu, cabang eksekutif boleh meluluskan undang-undang baharu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong tanpa melalui legislatif.