31 MAC: Selepas hampir tiga bulan insiden Boeing 737-500 milik Sriwijaya Air dilaporkan terhempas yang mengorbankan 62 penumpang dan kru penerbangan, perakam suara pesawat itu ditemui, hari ini, menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan Indonesia.
Dalam kejadian pada 9 Januari lalu itu, pesawat berusia 26 tahun terbabit terjunam ke dalam Laut Jawa pada ketinggian 3,000 meter, selepas beberapa minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Pasukan penyelam sebelum ini sudah berusaha mencari perakam suara berkenaan yang merekodkan perbualan antara juruterbang pesawat itu sebelum terhempas, namun hanya menemui perakam data.
Laporan awal nahas itu menyatakan juruterbangnya melaporkan pelbagai masalah berlaku, sebelum terhempas.
Perakaman suara itu mampu memberikan petunjuk penting berhubung perbualan juruterbang berkenaan ketika pesawat dalam penerbangan menuju ke Pontianak di Borneo.