31 MAC: Prebet Adam yang pernah menggemparkan negara kerana mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987, dilaporkan meninggal dunia, semalam.
Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar, 60, menghembuskan nafas ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang semalam akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Menerusi muat naik status dan gambar adik beliau, Arzat Jaafar, dipaparkan tanah perkuburan berserta tulisan mengenai pemergian arwah.
“Al-Fatihah buat abangku, Adam Jaafar @ Adam Rembo. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Semoga tenang abang di sana. Al-Fatihah,” katanya.
Seorang adik Adam, Anisah Jaafar, turut memuat naik video dan gambar Allahyarham menerusi Facebook.
“Telah selamat dikebumikan abangku Adam Rambo. Arwah meninggal dunia pada pagi tadi (semalam), Al-Fatihah (dibaca). Semoga arwah tenang di sana, Amin,” katanya.
Kejadian amuk membabitkan Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987 menggemparkan negara dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang dilepaskannya.
Bagaimanapun, Adam yang ketika kejadian itu berumur 26 tahun, terlepas hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.
Pada 2018, isu mengenai kejadian Adam mengamuk itu kembali mendapat perhatian ramai selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan pendapat peribadinya dan mengkritik ‘individu berumur 93 tahun yang ingin menjadi perdana menteri’.
Susulan daripada itu, adik Adam, Hawa Jaafar, dilaporkan memohon maaf kepada kerabat Diraja Johor yang diheret ke dalam insiden itu dan menyatakan Adam mengamuk disebabkan masalah di tempat kerja dan tiada kaitan dengan kerabat Diraja Johor.
Hawa dipetik menafikan abang mereka dibunuh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail semasa berkhidmat sebagai ‘caddy’ golf kepada Almarhum yang kononnya menjadi punca Adam mengamuk di ibu negara.