31 MAC: “Pendirian kita terikat kepada keputusan UMNO, selagi parti tidak buat apa-apa keputusan, kita fokus tugas kepada kerajaan,” kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu menegaskan, kesemua pemimpin UMNO masih terikat dengan pendirian dan keputusan parti itu.
Justeru, katanya yang juga lebih dikenali sebagai KJ, selagi UMNO belum membuat ketetapan berhubung peletakan jawatan menteri dan timbalan menteri daripada parti itu dalam kabinet Perikatan Nasional, beliau dan pemimpin UMNO akan terus berkhidmat kepada rakyat.
“Sebab itu kita harap Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan bijak dan waras,” katanya pada Majlis Kolaborasi Korporat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, Khairy mencadangkan agar pemilihan UMNO dilaksanakan segera bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti berkenaan.
Pemilihan UMNO, tegasnya, tidak harus ditangguhkan selepas pilihan raya umum, sebaliknya perlu dilakukan awal.