31 MAC: Tindakan Menteri dan Timbalan Menteri dari UMNO enggan letak jawatan dalam masa terdekat adalah tepat kerana mereka mempunyai tugas besar bagi membantu kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani penularan wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tindakan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa Menteri UMNO tidak akan meletakkan jawatan dalam masa terdekat menunjukkan beliau amat telus.
“Untuk itu kekal kita dalam Kabinet dan kerajaan untuk membantu negara dan perlu dilaksanakan sebaik mungkin dan menteri daripada Umno sebenarnya bertekad untuk bersama-sama dengan kerajaan sekarang ini, memastikan semua yang telah kita gariskan untuk dilaksana, dilaksanakan,” katanya ketika sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara kementeriannya dengan Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata kebanyakan Menteri dari UMNO mempunyai tugas penting dalam membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19.
“Pertama sekali, perkara ini diputuskan hanya untuk berhadapan dengan PRU-15 saja. Sebelum itu kita masih lagi untuk bersama-sama memastikan tanggungjawab yang diberikan, terutama kepada Menteri UMNO seperti Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri yang menguruskan kebanyakan isu keselamatan.
“Sebagai Menteri Kesihatan yang menguruskan kes-kes menangani hal ehwal pandemik Covid-19 dan pengurusan sistem kesihatan.
“YB Khairy Jamaluddin pula dalam program vaksinasi, dan menteri-menteri lain yang bertanggungjawab sepenuhnya. Sama-sama kita laksanakan agenda nasional Malaysia Sihat dan juga titah Yang di-Pertuan Agong supaya kita memperkasakan komuniti.
“Itu sangat penting dan perlu diberi keutamaan. Jadi kita akan look forward untuk melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan semua Menteri dari UMNO tidak akan meletakkan jawatan masing-masing sebagai anggota Kabinet dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.
Muhyiddin dalam satu kenyataannya berkata kata sepakat itu dicapai selepas Menteri dari UMNO berkenaan mengadakan pertemuan dengannya pada Isnin lalu.
“Menteri-Menteri dari Umno telah menemui saya pada hari Isnin 29 Mac 2021.
“Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka di dalam kabinet
berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO bahawa parti itu akan memutuskan
hubungan dengan Bersatu dalam PRU-15.
“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam kabinet. Ini
mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
“Pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi COVID-19,
melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pagi tadi.