10,116 warga asing sah positif COVID-19
21 FEB: Seramai 2,950 warga asing di negara ini menjalani ujian saringan semalam dengan 43 individu disahkan positif COVID-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan sehingga semalam, seramai 667,896 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19 yang membabitkan 34, 653 majikan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 10,116 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 657, 780 lagi adalah negatif.
“Sehingga kini juga, sebanyak 1,542 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya menerusi kenyataan harian laporan PKPB, PKPP, hari ini.
Dalam pada itu, mengenai task force pematuhan, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menahan seramai dua individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP) dan kesemuanya telah dikompoun.
“Kedua-dua mereka yang dikompoun telah melakukan kesalahan merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran daripada pihak polis,” katanya.
Sementara itu, berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas lima buah kenderaan darat.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 124 buah bot/kapal di perairan negara serta sebuah kenderaan darat melalui tujuh aktiviti penglihatan. Seramai 11 orang PATI turut diusir melalui tiga aktiviti pengusiran,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 159, 661 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 78 hotel dan sembilan institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.
“Semalam, seramai 638 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.
“Setakat ini, seramai 7,249 individu telah dikuarantin dan 151, 218 orang dibenarkan pulang manakala 1,194 lagi dibawa ke hospital,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH