1 APRIL: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melaksanakan perluasan program DesaMall@KPLB bagi terus meningkatkan pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar, sekali gus menggalakkan pendapatan mereka.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata program itu adalah usaha KPLB untuk membantu golongan terbabit memasarkan produk secara dalam talian melalui platform e-dagang.
Katanya, bertepatan dengan norma baharu, KPLB memulakan perluasan program itu dengan mengadakan kerjasama strategik menerusi syarikat pentadbir eLokal Sdn Bhd (eLokal).
“Kolaboratif ini adalah bagi mempromosi dan memacu penerimaan e-dagang, sekali gus membantu usahawan luar bandar memasarkan produk secara dalam talian untuk memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat.
“Bagi meluaskan lagi pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar, program DesaMall@KPLB melalui syarikat pentadbir DesaMall@KPLB kini mewujudkan gudang di Bukit Jelutong, Shah Alam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Gudang DesaMall@KPLB dan Trak DesaMall@OnTheGo di Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.
Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Mara Corporation, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Pegawai Eksekutif eLokal, Ahmad Shah Wahid.
Abd Latiff berkata, gudang itu disewa daripada syarikat Gig Technology Holdings Sdn Bhd dan dijadikan hab pengumpulan dan penyimpanan stok produk usahawan luar bandar yang menyertai DesaMall@KPLB.
“Gudang ini juga sebagai hab pengedaran produk terbabit ke Cawangan DesaMall@KPLB dan pelanggan,” katanya.
Menurut Abd Latiff, sebelum ini, kementerian itu bekerjasama dengan satu platform e-dagang ketika DesaMall@KPLB diperkenalkan pada Oktober 2017 untuk memasarkan produk usahawan luar bandar berkenaan, sebelum meluaskannya menerusi Lazada, Shopee dan eBay pada Jun 2018 bagi meningkatkan jualan.
Sehingga kini, katanya, terdapat 2,000 usahawan luar bandar yang memanfaatkan program DesaMall@KPLB sebagai sebuah platform bagi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara dalam talian.
Abd Latiff berkata, jumlah jualan terkumpul sehingga 28 Februari lalu adalah sebanyak RM1.93 juta, selain 2,233 produk dan 23,981 unit simpanan stok (SKU) dipasarkan di semua platform e-dagang yang disertai DesaMall@KPLB.
“Justeru, KPLB akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta bagi membolehkan pelbagai jalinan strategik dirangka pada masa hadapan, seterusnya memberikan manfaat kepada rakyat.
“Keutamaan kerajaan kini adalah membuka peluang yang banyak dalam bidang keusahawanan ‘online’, menawarkan peluang pekerjaan dan mewujudkan pasaran baharu untuk membantu rakyat menghadapi cabaran pascapandemik Covid-19, malah memastikan usahawan luar bandar ini mampu mengharungi situasi ekonomi semakin mencabar,” katanya.