1 APR: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, mengulangi ikrar sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Perdana Menteri.
Beliau yang juga Pengerusi GPS berkata, sokongan itu diberikan kerana Muhyiddin sudah berjaya membuktikan keupayaannya menstabilkan negara ketika situasi yang amat mencabar.
“Masa depan akan lebih terjamin jika politik kita stabil. Ia akan menjadi tarikan kepada pelaburan asing, seterusnya menjamin pembangunan berterusan,” katanya dalam ucapan aluan sempena Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam di di Kuching, hari ini.
Abang Johari berkata, beliau juga yakin apabila politik stabil, negara akan dapat menghadapi cabaran besar terutamanya pandemik COVID-19.
“Hari ini pun, apabila COVID-19 melanda, anda menanganinya dengan baik. Tahniah buat anda, Perdana Menteri,” katanya.
Abang Johari menerajui GPS yang diwujudkan selepas empat parti tempatan Sarawak keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN) pada 2018.
Empat parti berkenaan ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parri Demokratik Progresif (PDP).