1 APRIL: Hanya Presiden dan Setiausaha Agung PAS yang boleh menentukan hala tuju parti itu, sama ada kekal di bawah Muafakat Nasional (MN) atau menyokong Perikatan Nasional (PN).
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata kepimpinan dan ahli parti itu hanya menunggu arahan daripada pihak atasan berhubung hala tujunya sebelum tindakan susulan dilaksanakan.
Katanya, ketika ini, PAS Perak turut mengambil pendirian memperkukuhkan dan terus mempertahankan MN.
“Kalau arahan pihak atasan kata kahwin (menyokong), kita kahwinlah, kalau cerai, kita cerailah.
“Setakat ini, kita terus memperkukuh dan mempertahankan MN sehingga ada satu keputusan baharu dibuat pihak atasan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan dewan terbuka Surau Al Faizin dan pelancaran Urban Farming di Taman Serai Permai, Bagan Serai, Perak hari ini.
Razman berkata, hubungan antara PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan UMNO di Perak berjalan seperti biasa serta tetap kekal dengan prinsip masing-masing.