1 APR: Kementerian Menteri Belia dan Sukan (KBS) telah mengemukakan cadangan kepada Kabinet supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan proses Undi18 dan pendaftaran secara automatik secara berasingan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal berkata, langkah itu perlu selepas Kabinet diberikan penjelasan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, bahawa SPR terpaksa menangguhkan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik kerana sistemnya belum siap.
Justeru itu, Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas mengemukakan beberapa formula dan cadangan supaya proses Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik dapat dilaksanakan secara berperingkat.
“Jadi kerajaan dan SPR kena lihat yang mana boleh dilaksanakan terlebih dahulu kerana kebanyakan rakyat di luar sana memikirkan mereka mahu mengundi apabila mencapai umur 18 tahun.
“Mereka masih tidak terfikir untuk menjadi calon pada PRU-15 walaupun pindaan Perlembangan berkenaan merangkumi semua aspek berkenaan. Jadi saya fikir kita (kerajaan dan SPR) patut laksanakan dahulu proses Undi18.
“Malah, secara peribadi saya sudah mengutuskan surat kepada SPR dan Takiyuddin mengenai pandangan saya dan KBS mengenai proses Undi18 dan proses daftar pemilih secara automatik,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis penyerahan penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) di Putrajaya semalam.
Mengulas lanjut, Reezal berkata langkah berkenaan penting kerana semua anggota Kabinet mengundi dan menyokong pindaan Perlembagaan bagi membolehkan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dikuatkuasakan oleh SPR seperti dibentangkan di Parlimen, sebelum ini.
Oleh itu, sebagai anggota Kabinet kerajaan bertanggungjawab, Reezal berkata mereka perlu memastikan bahawa pindaan Perlembagaan dapat dilaksanakan dengan segala formula dan apa juga yang boleh dengan perinciannya akan dibentangkan ke mesyuarat Kabinet, Rabu depan.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini (semalam) saya tegaskan ada empat perkara dalam Pindaan Perlembagaan 119 dengan satu daripadanya ialah menurunkan had umur minimum pengundi dari 21 tahun kepada Undi18 untuk menjadi calon kerusi Dewan Rakyat; keduanya menurunkan had umur mengundi 21 tahun ke 18 tahun untuk menjadi calon di kerusi DUN.
“Ketiga menurunkan had umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dan keempat adalah untuk melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik (ABR),” katanya.
Sementara itu Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, beliau menyokong hujah KBS dalam mesyuarat Kabinet semalam mengenai pengasingan proses itu, kerana dimaklumkan bahawa sistem pendaftaran automatik belum siap.
“Kalau tidak boleh dilaksanakan pendaftaran automatik sebab masalah sistem, kenapa perlu ditangguhkan Undi18. Undi18 boleh diteruskan macam biasa. Itulah pandangan kami dan kami akan membuat keputusan di Kabinet minggu hadapan,” katanya.
Terdahulu, Reezal berkata, KBS menerima hampir 8,000 permohonan untuk menyertai pasukan sukarelawan MyVAC sejak dilancarkan pada 26 Feb lepas dan ia melepasi sasaran awal kerajaan iaitu 6,000 sukarelawan yang akan ditugaskan di lebih 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.
“Sukarelawan MyVAC diibaratkan sebagai barisan hadapan kedua yang akan menyokong pasukan perubatan di PPV dengan tugas membantu proses pendaftaran dan pengesahan penerima vaksin, membantu pengurusan komunikasi dengan penerima vaksin untuk mengelakkan vaksin scammers selain memberi sokongan psikologi,” katanya.
MyVAC disokong Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia melibatkan golongan belia, mahasiswa institut pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan.