1 APRIL : Malaysia dan Arab Saudi akan mengadakan perbincangan lanjut bagi mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh jemaah yang bakal mengerjakan ibadah umrah dan haji, pada tahun ini.
Berikutan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau akan ke Arab Saudi pada 9 April ini bagi mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Issam Saad berhubung syarat khusus penyelenggaraan dan SOP terbabit.
Zulkifli juga dijangka memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika lawatannya ke Arab Saudi sebelum ini untuk memudahkan proses pra-pelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.
“Perbincangan itu nanti turut membabitkan sama ada Kerajaan Arab Saudi membenarkan kuota tambahan 10,000 jemaah haji Malaysia pada tahun ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kurma Ajwa dan Air Mineral di Masjid Mahmmoodiah Presint 18, Putrajaya, petang tadi.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.
Sumbangan kurma dan air mineral itu oleh syarikat Kumpulan Brahim’s kepada 127 masjid dan surau di Lembah Klang termasuk masjid bawah kelolaan JAWI, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sempena Ramadan.
Sebelum ini Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah sebelum dilaporkan berkata, antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai nanti ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Dalam pada itu Zulkifli berkata, pertemuan itu nanti juga dapat mengerat dan mengukuhkan hubungan antara Malaysia dengan Arab Saudi dalam pembangunan ummah serta kepentingan kedua-dua negara.
Terdahulu Zulkifli melahirkan rasa syukur dan gembira kerana dilantik ahli The Assembly of Muslim Jurists of Amerika (AMJA) baru-baru ini.
Beliau berkata pelantikan itu menjadikan beliau satu-satunya wakil Asia dan menyifatkan pelantikan itu satu amanah besar untuk membawa nama Malaysia sebagai negara Islam contoh kepada dunia Barat khususnya Amerika Syarikat.
“AMJA ini satu badan kajian ilmiah Fekah yang dianggotai ulama dunia mengenai kaedah melihat anak bulan (falaq) dan berkongsi pengalaman Malaysia bagi melihat anak bulan,” katanya.