1 APRIL: Malaysia akan menerima sebanyak 3.5 juta dos vaksin COVID-19 , CanSino dari China secara berperingkat bermula bulan ini.
Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mengumumkan, fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dijadual bermula pada 17 April ini, lebih awal daripada sasaran asal, iaitu 19 April.
Sebelum ini Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, berkata Malaysia akan meneruskan proses pemerolehan vaksin CanSino dari China.
Khairy dilaporkan berkata, vaksin CanSino adalah pilihan lebih baik daripada vaksin Johnson & Johnson, memandangkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat itu hanya dapat menghantar bekalan vaksin pada suku keempat tahun ini.
CanSino adalah vaksin satu dos kedua yang bakal digunakan dalam suntikan imunikasi COVID-19 selepas vaksin Sputnik.