1 APRIL: Susulan insiden pengeboman di luar gereja di Makassar, Indonesia, beberapa hari lalu yang dikaitkan dengan anggota pelampau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memantau perkembangan dan pengaruh kumpulan pengganas di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata isu berkaitan agama perlu ditangani dengan serius bagi mengelakkan dieksploitasi pihak tertentu, sehingga mencetuskan sentimen kebencian dan menggugat keselamatan negara.
“Kejadian di Makassar itu amat mengejut dan menyedihkan, justeru PDRM memerhati perkembangan ini dengan serius dan sentiasa memantau pengaruh militan itu.
“Amat berbahaya kepada keselamatan negara sekiranya isu berkaitan agama ini dieksploitasi sehingga mencetuskan sentimen kebencian,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Isnin lalu, media melaporkan berlaku pengeboman bunuh diri di luar gereja dekat bandar itu yang didakwa dilakukan dua anggota kumpulan pelampau Daesh.
Kira-kira 20 penganut Kristian cedera akibat letupan kuat di luar gereja itu ketika mereka menyambut permulaan Minggu Suci.