1 APRIL: Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua aktiviti ibadah di masjid dan surau sepanjang Ramadan, termasuk solat tarawih akan diperincikan serta diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata SOP di Wilayah Persekutuan (WP) akan diselaraskan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), manakala negeri lain ditetapkan Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.
“Saya melihat perkara ini (ibadah bulan Ramadan) hampir sama dengan solat lain, kecuali mungkin ada sedikit perubahan kecil yang akan dilihat dari masa ke masa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Akaun Emas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) atau Akaun SERY di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan kebenaran untuk mengadakan solat tarawih di masjid sepanjang bulan Ramadan yang bermula 13 April ini.