1 APRIL : Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19) harus dipinda terlebih dahulu agar cadangan Undi-18 tahun boleh dilaksanakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, akta tersebut perlu terlebih dahulu dipinda untuk melaksanakan cadangan tersebut.
“Tetapi akta itu tidak dipinda manakala peraturan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya juga tidak dipinda.
“Walaupun perlembagaan sudah dipinda di bawah Perkara 48 misalnya, masih tidak boleh dijalankan lantaran salurannya itu tidak disediakan.
” Jadi walaupun perlembagaan sudah dipinda tetapi tidak ada prasarananya menerusi undang-undang pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas menghadiri program gotong-royong bersama sukarelawan Yayasan Budi dan orang Asli di Mah Meri Cultural Village, Pulau Carey, Banting, Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, Rais memberitahu jawatankuasa PRU telah tertinggal sesuatu yang asas, iaitu asas peraturan dan undang-undang sampingan kepada pindaan perlembagaan yang dibuat.
Menurut beliau, bagi beliau soal keberkesanan, faedah, dan risiko Undi 18 merupakan soal politik, bagaimanapun soal undang-undang harus dilaksanakan terlebih dahulu.
“Undang-undang adalah persoalan pokok dan itu mesti dilaksanakan dahulu dan jika tidak, tidak boleh dilaksanakan kehendak yang ramai itu.
“Oleh kerana undang-undang itu tidak dilaksanakan di peringkat prasarana, itulah yang saya pandang berat, justeru tidak boleh dipaksa mereka yang 18 tahun automatik menjadi pengundi,” katanya.