2 APRIL : Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen (JIM) bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap aktivis dari Russia yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan kelas bahasa Inggeris di Kampung Orang Asli Pos Woh, Tapah, Perak, baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata JAKOA juga ingin menegaskan bahawa mana-mana pihak yang telah diberi kebenaran untuk menjalankan program di perkampungan masyarakat Orang Asli perlu mematuhi syarat-syarat yang telah diberikan.
Beliau berkata pendidikan dan kesihatan masyarakat Orang Asli juga sentiasa menjadi keutamaan JAKOA melalui program-program yang telah disediakan seperti yang telah diperuntukkan oleh pihak kerajaan.
“JAKOA juga menasihatkan agar masyarakat sentiasa memastikan segala kutipan derma yang dibuat atas nama masyarakat Orang Asli perlu melalui pertubuhan yang berdaftar dan diiktiraf bagi mengelakkan penyalahgunaan dana kutipan untuk kepentingan pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Abd Latiff berkata JAKOA telah mengeluarkan surat kelulusan permohonan untuk menjalankan Program Kelas Bahasa Inggeris kepada Valeriya Ashtashova di Kampung Orang Asli Pos Woh, Tapah, Perak, pada 14 Disember 2020.
Katanya, kelulusan ini diberikan oleh JAKOA bagi memberi peluang kepada individu dan NGO untuk berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan tahap pendidikan masyarakat Orang Asli.
“Namun, program ini perlu mematuhi syarat yang diberikan oleh JAKOA dan turut mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 ke perkampungan masyarakat Orang Asli.
“Bagaimanapun, JAKOA telah menerima maklumat bahawa individu berkenaan telah menyalahguna dewan di kampung berkenaan untuk dijadikan tempat
penginapan serta membawa individu lain untuk tinggal di sana tanpa kelulusan,” katanya.
Dr Abd Latiff berkata tindakan itu adalah menyalahi peraturan serta menimbulkan risiko penyebaran pandemik Covid-19 di kampung ini. Selain itu, individu tersebut turut memuat naik kritikan terhadap perkhidmatan kesihatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan untuk masyarakat Orang Asli di media sosial.
“Selepas beberapa siri pelanggaran syarat kelulusan, JAKOA telah membatalkan kelulusan menjalankan Program Kelas Bahasa Inggeris dan meminta Valeriya Ashtashova untuk meninggalkan kampung.
“Bagaimanapun, individu tersebut enggan mengikuti arahan serta terus-menerus mengeluarkan kenyataan memburukkan JAKOA, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan Malaysia.
Selain itu, kutipan derma untuk menjalankan program ini terus dilaksanakan walaupun notis penamatan program telah dikeluarkan oleh JAKOA dan kutipan tersebut tidak melalui mana-mana pertubuhan berdaftar.