2 APRIL: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersedia memperuntukkan perbelanjaan besar, demi menyelamatkan nyawa rakyat dan ekonomi negara akibat penularan COVID-19.
Katanya, penularan pandemik itu amat mencabar bagi kerajaan kerana membabitkan nyawa dan menjejaskan ekonomi negara.
Muhyiddin berkata, keadaan itu memerlukan kerajaan berbelanja besar untuk membeli ubat-ubatan, memastikan katil hospital mencukupi dan menambah bilangan doktor serta jururawat.
“Ini (berbelanja besar) kita (kerajaan) lakukan kerana kita perlu menyelamatkan setiap nyawa rakyat.
“Kerajaan sudah membelanjakan antara RM7 bilion sehingga RM8 bilion untuk selesaikan masalah COVID-19 dan jumlah itu tidak termasuk wang pembelian vaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perjumpaan Masyarakat Samarahan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, di Kota Samarahan, Sarawak hari ini.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga sudah menempah vaksin dalam kuantiti besar kerana tidak mahu mengambil mudah nyawa rakyat.
Sementara itu, Muhyiddin meluahkan rasa puas hati dengan proses program vaksinasi di Sarawak dan berjanji akan meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar lebih banyak vaksin COVID-19 ke negeri berkenaan.