2 APRIL : Seorang lelaki yang kononnya boleh mendapatkan sokongan ‘timbalan menteri’ untuk permohonan dana geran filem bernilai RM1.8 juta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana meminta rasuah sebanyak RM5,000 daripada sebuah syarikat produksi filem untuk tujuan itu.
Lelaki berusia 38 tahun yang merupakan seorang penganggur ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada pukul 5.30 petang di Putrajaya, semalam bagi membantu siasatan.
Suspek dikatakan telah menyamar sebagai pegawai khas kepada seorang ‘timbalan menteri’ daripada sebuah kementerian dan meminta rasuah daripada syarikat produksi berkenaan dengan menyatakan sokongan daripada ‘timbalan menteri’ akan memudahkan lagi proses untuk memperoleh dana tersebut.
Pengarah SPRM KL, Razaliah Ab. Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
Tempoh reman bermula hari ini sehingga 6 April depan itu dibenarkan oleh Majistret Wong Chai Sia di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.