2 APRIL : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa hak-hak negeri Sarawak akan terus dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Muhyiddin, kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyatakan komitmen untuk menilai dengan adil semua tuntutan negeri tersebut terutama yang melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Dalam setiap ucapan, saya tekankan komitmen Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menilai dengan adil semua tuntutan Sarawak, terutama yang melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sebagai Perdana Menteri. Saya beri jaminan bahawa kerajaan PN akan memastikan hak-hak Sarawak akan terus dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan melalui Facebook rasmi beliau hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin berkata dalam lawatan dua harinya ke Sarawak yang berakhir hari ini, beliau berkesempatan menemui penjawat awam di negeri itu termasuk masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, lawatan kerja dua hari saya ke Sarawak berakhir dengan menghadiri program bersama kerajaan negeri, penjawat awam, beramah mesra dengan masyarakat setempat, lawatan ke medan niaga serta program Ziarah Prihatin.
“Saya juga sempat berkunjung ke Restoran Mi Kolok Hj Salleh, bagi menikmati sarapan pagi. Restoran ini pernah saya sentuh ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada April tahun lalu,” jelasnya.
Selain itu, kata Muhyiddin lagi, beliau berkesempatan ke Medan Niaga Satok bagi memghadiri Program Prihatin dan Penjana.
“Rata-rata peniaga yang saya temui menghargai pelbagai pakej bantuan yang disediakan Kerajaan kerana banyak membantu mereka meneruskan kehidupan dan perniagaan dalam situasi pandemik COVID-19.
“Di akhir lawatan, saya berkunjung ke Blok Pusat Rawatan Harian, Hospital Umum Sarawak yang mampu merawat seramai 100 orang pesakit sehari,” katanya.
Turut sama dalam lawatan itu ialah YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dan pimpinan Kerajaan Negeri.
Muhyiddin turut meluahkan keyakinan bahawa negeri Sarawak mampu mencapai kemajuan dan akan membangun lebih pesat menjadi negeri termaju di Malaysia di bawah pimpinan Ketua Menteri dengan kerjasama kerajaan pusat pada masa akan datang.