2 APRIL: Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad menegaskan kenyataan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal Muafakat Nasional (MN) bukan bermaksud parti itu mahu menolak MN yang turut disertai UMNO.
Kamaruzaman berkata kenyataan Hadi itu selaras dengan pendirian PAS sebelum ini iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata PAS tetap bersama MN dan PN dengan matlamat dan objektif jelas.
“Bukan (PAS tolak atau mahu keluar MN), pendirian kita masih jelas memperkukuh MN dan mempertahankan PN dan juga apa sahaja agenda yang berada di sebalik tertubuhnya MN,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Abdul Hadi mengajak semua kumpulan Islam untuk menyertai PN, yang ditunjangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusinya.
Pendirian Hadi itu menyusul pengumuman bahawa PAS akan mengukuhkan kerjasama dengan BERSATU bagi menghadapi PRU15, selepas UMNO mengesahkan tiada kerjasama dengan BERSATU dan kebersamaan dalam kerajaan adalah hanya sehingga pembubaran Parlimen.
Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata apa yang dimaksudkan Presiden PAS dalam menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal MN hanya merujuk kepada apa saja cubaan untuk memecah belahkan ummah.
“MN didirikan atas piagam MN, bermakna kita ada matlamat yang jelas, (dan) kita ada objektif yang jelas. Jadi asas kepada MN (adalah) perpaduan. Apa sahaja perkara menjurus kepada perpecahan maka ianya sudah melanggar piagam MN, itu maksudnya,” katanya.
Mengenai keputusan UMNO menamatkan kerjasama dengan PPBM, Kamaruzaman berkata PAS tetap berusaha mendamaikan dua parti itu.
“Dunia belum kiamat. Selagi dunia belum kiamat segalanya adalah mungkin dan PAS akan terus pertegas dan memperteguhkan usaha penyatuan ummah ini dan paling pentingnya mempertemukan UMNO dan BERSATU,” katanya.
Pada sidang medianya di Rusila, Terengganu pagi tadi, Hadi menuntut BERSATU tetap dijadikan ahli komponen Muafakat Nasional.
“Kita sudah bersetuju (dan) sudah tandatangani. Saya tandatangan, Ahmad Zahid Hamidi tandatangan, undang Muhyiddin (ke) dalam MN. Itu perlu dilaksanakan. Saya boleh tunjuk surat,” katanya.