3 APRIL : Kini bukan masa yang sesuai dan langkah yang kurang bijak bagi mana-mana parti sama ada UMNO mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk saling menggertak dan menarik sokongan kerana ia jelas merugikan kedua-dua pihak.
Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, sepatutnya kedua-dua parti harus mewujudkan simbiosis politik dalam ekosistem dan persekitaran kerjasama yang mesra serta terbuka.
Beliau turut pelik dengan dua parti tersebut kerana lebih memilih jalan untuk bersengketa berbanding mempunyai ruang untuk mengadakan perbincangan dan mewujudkan kaedah penyelesaian yang positif.
“Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) juga tidak lagi memperlihatkan parti itu fokus terhadap permasalahan sebenar. Kalau dahulu, perbahasannya banyak mengangkat dan menyentuh isu-isu orang Melayu terutama aspek pendidikan, ekonomi dan agama. Walaupun kadang-kadang terlampau retorik, sekurang-kurangnya PAU masih mempunyai hala tuju dan fokus terhadap kepentingan orang Melayu.
“Namun kali ini berbeza. Sepanjang PAU2020, UMNO hanya bercakap tentang mahu kembali berkuasa. Masih menunjukkan sisi UMNO yang lama dan mengecewakan. Kecewa juga melihat UMNO setelah kalah dan hilang kuasa masih mahu tunjuk gagah serta bongkak sebegitu. Sepatutnya PAU boleh digunakan untuk menyatukan semua pihak,” katanya salam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mujibu memberitahu PAU seharusnya dijadikan medan bagi menggarap idea-idea baharu dan bersifat nasional, bukan sahaja menguntungkan orang Melayu tetapi semua rakyat.
Tambahan pula, beliau berkata dalam keadaan sukar sebegini, pengalaman dan kebolehan UMNO semenangnya ditunggu serta amat diharapkan oleh pelbagai pihaknya khususnya rakyat jelata.
“Tiada masalah untuk berpolitik. Memang UMNO sebagai parti politik kena berpolitik. Namun, politik bukan sekadar untuk berkuasa dan menjadi kerajaan semata-mata. Ada aspek lain perlu dilakukan parti politik secara berkesan, jauh melebihi dimensi kuasa.
“Mungkin aspek inilah yang UMNO perlu pelajari dan faham setelah sekian lama terbiasa dengan kuasa dan pemerintahan. Amat rugilah UMNO yang setelah kalah dan kembali menjadi kerajaan.
“Walaupun terpaksa berkongsi kuasa dan tidak lagi dominan masih belum peka dengan realiti politik sekeliling yang sudah jauh berubah. Sayang PAU kali ini jelas merefleksikan hakikat tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan walaupun UMNO memutuskan untuk tidak bekerjasama ketika Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) namun mengapa mahu ‘membakar jambatan’ sehingga mengarahkan menteri-menterinya letak jawatan.
“Kurang bijak tindakan itu. Sudah terang lagi bersuluh kerjasama dengan PN hanya bagi membolehkan kerajaan dibentuk, bukannya pakatan untuk pilihan raya. Jadi, biarlah ia berjalan sehingga habis tempoh.
“PAU kali ini jelas memperlihatkan memang ada kelompok berbeza dalam parti itu. Nafilah apa pun, kenyataan itu tidak dapat disorok lagi. Kalau sudah saling gertak menggertak, perli memerli dan tunjuk kuat masing-masing secara terbuka, maka apa lagi yang boleh diperkatakan.
“Tumpukanlah usaha dan fokus untuk betulkan kembali negara. Sambil-sambil gunakanlah jawatan dan kuasa itu untuk meningkatkan portfolio parti serta menawan kembali hati dan keyakinan rakyat melalui khidmat bakti sebagai persiapan pilihan raya kelak,” katanya.