3 APRIL: Kes baharu COVID-19 kembali meningkat hari ini iaitu sebanyak 1,638 kes menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 349,610 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan 1,631 kes tempatan dan tujuh kes import.
“Perak hari ini mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 494 kes berbanding semalam hanya 14 kes. Ini diikuti Selangor sebanyak 352 dan Sarawak 290 kes.
“Selain itu, Perlis berjaya mencatatkan semula sifar kes pada hari ini berbanding semalam yang mencatatkan satu kes positif COVID-19,”katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu jumlah kes sembuh baharu dilaporkan sebanyak 1,449 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat pandemik itu melonjak kepada 333,892 atau 95.50 peratus daripada keseluruhan kes.
Namun, beliau berkata, kes kematian baharu turut mencatatkan penurunan di mana hanya tiga kes dilaporkan hari ini berbanding semalam lima kes.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 kini 1,286 kes atau 0.37 peratus daripada keseluruhan kes.
“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 167 orang termasuk dan 81 yang memerlukan bantuan pernafasan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes aktif sebanyak 14,432 atau bersamaan 4.13 peratus” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH