3 APRIL: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Binyu Baru, Bahagian Samarahan dan Kampung Binyu Lama, Bahagian Kuching, Sarawak, selama 14 hari bermula esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di Kampung Binyu Baru dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan ujian saringan terhadap 11 individu di mana empat daripadanya didapati positif COVID-19.
Beliau berkata setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan
bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Binyu Baru, bermula 4 hingga 17 April 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan tindakan kawalan COVID-19 dijalankan dengan cepat serta berkesan dan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata PKPD di Kampung Binyu Lama, Bahagian Kuching, Sarawak KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi apabila sehingga 1 April 2021 sebanyak 57 kes positif COVID-19 telah direkodkan di lokaliti ini.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Binyu Lama, bermula 4 April sehingga 17 April 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes-kes disyaki COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya..
Terdahulu, Ismail Sabri mengesahkan enam individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, lima dikompaun manakala satu lagi direman.
Beliau berkata antara kesalahan direkodkan gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera/secara manual (3); rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (2) dan tidak memakai pelitup muka (1).
“Pihak berkuasa juga menangkap seorang PATI, lima (5) penyeludup dan merampas tiga (3) buah kenderaan darat. Sebanyak 88 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui empat (4) aktiviti penglihatan. Sebuah kapal/bot turut berjaya diusir melalui satu (1) aktiviti pengusiran dalam Ops Bentang di seluruh negara, semalam,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI