3 APRIL : Perikatan Nasional (PN) di bawah sedang membangunkan satu gabungan besar parti-parti politik yang menyatukan ummah dan rakyat dengan adil, saksama, inklusif dan harmoni dalam acuan politik baharu negara.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, acuan baharu itu akan berfungsi dengan baik, prihatin dan stabil di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pahang yakin PN telah belajar daripada kelemahan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bahawa keputusan gabungan dibuat berasaskan perundingan dan bukan dominasi satu parti.
“Dalam Barisan Nasional (BN) UMNO parti dominan. Jawatan utama BN – Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Penerangan – dipegang UMNO. Dalam PN, ia dikongsi sesama parti komponen.
“Dalam Pakatan Harapan (PH), tiada parti yang dominan, tapi keadaan di mana ia disokong oleh ‘majoriti besar golongan minoriti’ dan ‘hanya minoriti kecil golongan majoriti’ menyebabkan ia tidak bertahan lama,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Sementara itu, Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia turut bersetuju dengan Perdana Menteri bahawa negara perlu mengamalkan politik baharu yang berfungsi, prihatin dan stabil.
“Antara ciri politik baharu, dalam satu gabungan parti-parti politik, tidak wujud satu parti yang dominan manakala ada parti kecil yang terpinggir,” katanya. –Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH