3 APRIL : Dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mencuri atau memancing mana-mana ahli UMNO untuk menyertai parti itu adalah tidak benar sama sekali, tegas Pengerusi BERSATU Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya.
Beliau menjelaskan demikian bagi menafikan dakwaan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Shah baru-baru ini yang dilihat terlalu subjektif.
Menurut beliau, adalah tidak adil untuk membuat tuduhan tidak berasas itu tanpa mengemukakan sebarang bukti yang kukuh ketika ini.
“Mana ada siapa boleh ‘curi’ siapa. Kalau ahli mana-mana parti nak sertai parti lain itu hak dia. Jadi, dakwaan ‘curi’ ini bagi saya tak lebih daripada tindakan ‘escapism’ atau cuba melepaskan diri daripada masalah yang dihadapi parti itu sekarang.
“Tidak adil untuk tuduh kami curi ahli, sedangkan rakyat kini boleh cari maklumat lebih awal daripada kita untuk lihat perjuangan parti. Saya nasihatkan UMNO agar yakinkan kembali ahli dengan perjuangan mereka,” katanya ketika ditemui media di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, hari ini.
Dalam pada itu, Shabudin yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) memberitahu PN Pulau Pinang memuji tindakan PAS menolak muafakat yang disifatkan menyeleweng daripada matlamat asal penubuhan Muafakat Nasional (MN) ketika ini.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri, berkata PAS telah membuat keputusan yang bijak dan pendirian positif itu juga bagus untuk perkembangan PN.
“Tapi, antara PAS dengan MN, saya percaya PAS ada strategi dan pendekatan tersendiri yang akan diselesaikan dengan MN. Jadi, situasi yang agak baik.
“Sebab itulah juga kalau kita tengok kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU pun, beliau relaks dan sedia untuk hadapi apa-apa sahaja. Kalau nak datang sertai BERSATU pun, pintu masih terbuka,” katanya.