3 APRIL : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim menafikan wujudnya desas desus beliau akan digantikan dengan Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi UMNO Perlis.
Beliau menjelaskan tidak ada mendengar sebarang desas-desus mengatakan beliau akan digugurkan sebagai Pengerusi UMNO Perlis.
“Tidak ada desas-desus… apa salah saya? Kalau saya melakukan kesalahan yang berat dan sebagainya tak apa.
“Ini apa salah saya? Saya bagi pandangan tambahan,” kata Ahli Parlimen Arau itu.
Bagaimanapun kata beliau, sekiranya benar perkara itu, beliau tidak kisah untuk digantikan.
Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) berkata demikian ketika mengulas pertanyaan pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pergerakan Wanita UMNO di Pusat Khidmat Kubang Gajah dekat Arau, pada Sabtu.
Sebelum ini, Datuk Seri Azlan Man memaklumkan beliau sendiri tidak mengetahui sebarang desas-desus beliau akan dilantik menggantikan Shahidan sebagai Pengerusi UMNO Perlis.